Masuk sahaja umur 40-an, ramai mula perasan satu benda pelik.
Makan lebih kurang sama macam dulu, tetapi perut makin mudah naik.
Berat mungkin tak berubah banyak, tetapi badan nampak semakin “lembik”.
Dulu naik tangga dua tiga tingkat tak ada masalah. Sekarang cepat penat.
Dulu angkat barang berat selamba. Sekarang pinggang, lutut dan bahu mula terasa.
Kemudian kita salahkan satu benda sahaja:
“Metabolisme dah slow sebab umur.”
Sebenarnya cerita selepas umur 40 jauh lebih kompleks.
Salah satu perkara yang sangat penting tetapi selalu kita terlepas pandang ialah otot.
Dan kalau bercakap tentang mengekalkan otot, kita tak boleh lari daripada dua perkara:
protein dan penggunaan otot.
Protein bukan makanan khas untuk bodybuilder.
Protein bukan untuk orang gym sahaja.
Dan protein bukan semata-mata bertujuan untuk membesarkan biceps.
Selepas umur 40, protein patut mula dilihat sebagai salah satu komponen asas untuk membantu kita mempertahankan fungsi badan, kekuatan dan jisim tanpa lemak sepanjang proses penuaan.
Umur 40-an: Belum Tua, Tetapi Jangan Tunggu Tua
Kita kena betulkan satu perkara dahulu.
Orang berusia 40 atau 45 tahun yang sihat tidak semestinya mengalami sarcopenia.
Sarcopenia ialah keadaan kehilangan jisim dan fungsi otot yang lebih ketara, lazimnya dikaitkan dengan usia lebih lanjut.
Tetapi jangan pula tunggu umur 60 atau 70 tahun baru hendak fikir pasal otot.
Umur 40-an sebenarnya waktu yang sangat strategik untuk membina “simpanan otot” sebelum usia meningkat lagi.
Kajian mengenai warga emas menunjukkan kehilangan otot bukan semata-mata masalah jumlah protein. Aktiviti fizikal, latihan rintangan, jumlah tenaga yang dimakan, hormon, penyakit kronik dan kualiti diet semuanya memainkan peranan.
Sebab itulah konsep paling penting bukan:
“Makan protein banyak = automatik berotot.”
Tetapi:
Protein + otot digunakan + tenaga mencukupi + tidur dan pemulihan = keadaan lebih baik untuk mempertahankan otot.
Kajian sistematik terkini terus menunjukkan bahawa latihan rintangan merupakan rangsangan yang sangat penting untuk otot. Dalam kalangan orang lebih berusia dengan sarcopenia, kombinasi protein dan resistance exercise dikaitkan dengan peningkatan jisim serta kekuatan otot.
Maksudnya mudah.
Protein ialah bahan mentah.
Tetapi otot masih memerlukan arahan supaya bahan mentah itu digunakan.
Antara “arahan” terbaik?
Gunakan otot.
Angkat barang.
Squat.
Naik tangga.
Push-up.
Resistance band.
Dumbbell.
Berkebun.
Carry groceries.
Apa sahaja aktiviti yang memaksa otot melakukan kerja.
Kenapa Protein Begitu Penting?
Protein dipecahkan kepada unit yang lebih kecil yang dipanggil asid amino.
Asid amino digunakan oleh badan untuk banyak perkara termasuk:
- pembentukan dan pembaikan tisu,
- otot,
- enzim,
- hormon tertentu,
- antibodi dan sistem imun,
- kulit,
- rambut,
- struktur badan,
- dan pelbagai proses metabolik.
Sebab itulah apabila kita bercakap tentang protein, kita tidak bercakap tentang otot sahaja.
Protein merupakan sebahagian daripada struktur tubuh manusia.
Masalahnya, berbeza dengan lemak yang boleh disimpan dalam jumlah besar dalam tisu adipos, badan tidak mempunyai sebuah “tangki simpanan protein” khas yang kita boleh isi hari Ahad dan guna sampai minggu depan.
Tubuh sentiasa berada dalam proses:
membina protein ↔ memecahkan protein.
Dalam otot pula terdapat konsep yang dipanggil muscle protein synthesis (MPS).
Secara mudah, MPS ialah proses pembinaan protein otot.
Kita mahu rangsangan pembinaan ini berlaku secara berkala sambil mengelakkan kehilangan otot kronik akibat tidak aktif, diet terlalu ekstrem atau kekurangan nutrisi.
Leucine: Kenapa Nama Ini Selalu Keluar Bila Bercakap Tentang Otot?
Salah satu asid amino yang sangat banyak dikaji ialah leucine.
Leucine ialah salah satu branched-chain amino acids atau BCAA.
Ia bukan satu-satunya benda yang diperlukan untuk membina otot, tetapi leucine mempunyai peranan sebagai salah satu isyarat yang membantu mencetuskan laluan berkaitan muscle protein synthesis.
Kajian mengenai penuaan otot menunjukkan leucine memainkan peranan penting dalam isyarat metabolik yang mengaktifkan proses pembinaan protein otot.
Tetapi jangan salah faham.
Ini tidak bermaksud:
“Kalau ambil leucine sahaja, otot terus besar.”
Tubuh masih memerlukan keseluruhan essential amino acids dan jumlah protein yang mencukupi.
Analogi mudah:
Leucine mungkin seperti orang yang menekan suis untuk memulakan pembinaan rumah.
Tetapi kalau simen, bata, besi dan pekerja tak cukup, tekan suis berkali-kali pun rumah tidak siap.
Sebab itu kita mahu protein berkualiti, bukan hanya mengejar satu asid amino.
Berapa Banyak Protein Selepas Umur 40?
Ini soalan yang selalu orang mahu jawapan satu nombor.
Sebenarnya keperluan protein bergantung kepada:
- berat badan,
- komposisi badan,
- tahap aktiviti,
- latihan,
- jumlah kalori,
- sama ada sedang menurunkan berat,
- keadaan kesihatan,
- dan matlamat individu.
Untuk orang dewasa, angka sekitar 0.8 g protein/kg berat badan sehari sering digunakan sebagai rujukan asas keperluan protein.
Tetapi angka ini jangan pula dianggap sebagai jumlah optimum untuk setiap manusia dan setiap situasi.
Apabila seseorang aktif, melakukan latihan rintangan, cuba mempertahankan otot ketika calorie deficit atau berada pada usia yang semakin meningkat, keperluan praktikal boleh menjadi lebih tinggi.
Meta-analisis melibatkan orang dewasa sihat mendapati peningkatan protein bersama resistance exercise memberikan tambahan kecil kepada pertambahan lean body mass dan beberapa ukuran kekuatan. Dalam peserta bawah 65 tahun yang melakukan resistance exercise, manfaat tambahan dilihat pada pengambilan protein yang lebih tinggi, sekitar 1.6 g/kg sehari dalam sebahagian analisis.
Kajian 2024 terhadap individu overweight atau obes yang sedang menurunkan berat pula mendapati pengambilan protein lebih tinggi membantu mempertahankan jisim otot dengan lebih baik; analisis tersebut melaporkan pengambilan melebihi kira-kira 1.3 g/kg sehari dikaitkan dengan pemeliharaan otot yang lebih baik dalam konteks weight loss.
Satu ulasan lebih baru pada 2026 mencadangkan sekitar 1.2–1.6 g/kg sehari sebagai julat pragmatik bagi ramai orang dewasa yang menjalani intentional weight loss, tetapi penulis turut menegaskan bahawa angka ini bukan sasaran universal dan perlu mengambil kira kesihatan buah pinggang, berat yang digunakan untuk pengiraan, toleransi, latihan dan keadaan individu.
Jadi untuk artikel ini, lebih selamat kita fikir begini:
1.0–1.2 g/kg sehari
Boleh menjadi sasaran praktikal bagi sesetengah orang sihat yang mahu memastikan diet mempunyai protein mencukupi.
1.2–1.6 g/kg sehari
Lebih relevan bagi individu aktif, melakukan latihan rintangan atau mahu mempertahankan jisim tanpa lemak ketika menurunkan berat.
Ia bukan preskripsi perubatan untuk semua orang.
Contohnya seseorang seberat 70 kg:
1.2 g/kg = 84 g protein sehari
1.4 g/kg = 98 g protein sehari
1.6 g/kg = 112 g protein sehari
Nampak banyak?
Sebab itu jangan cuba habiskan semuanya pada makan malam.
Jangan Simpan Semua Protein Untuk Dinner
Inilah kesilapan biasa orang Malaysia.
Sarapan:
teh tarik + roti.
Tengah hari:
nasi banyak + lauk sedikit.
Petang:
kuih.
Malam:
baru makan ayam, ikan dan lauk banyak.
Jumlah protein harian mungkin nampak okay, tetapi agihannya sangat berat pada waktu malam.
Satu eksperimen terkenal pada orang dewasa sihat membandingkan protein yang diagihkan lebih seimbang sekitar 30 g pada sarapan, tengah hari dan malam dengan diet yang majoriti protein dimakan pada waktu malam. Pengagihan yang lebih seimbang menghasilkan muscle protein synthesis 24 jam yang lebih tinggi.
Namun penyelidikan lebih baru menunjukkan isu distribution tidak semudah mengatakan setiap orang wajib makan tepat 30 g protein setiap tiga jam.
Ulasan 2024 menyimpulkan jumlah keseluruhan protein, umur, aktiviti fizikal dan kualiti protein semuanya mempengaruhi kesan pembahagian protein sepanjang hari.
Jadi mesej praktikalnya:
Jangan terlalu obses dengan jam.
Tetapi elakkan juga sarapan hampir kosong protein kemudian berharap satu pinggan ayam waktu malam menyelesaikan semuanya.
Cuba ada sumber protein pada:
sarapan + lunch + dinner.
Protein Masa Diet Lagi Penting
Ini bahagian yang sangat relevan untuk umur 40-an.
Ramai mula diet kerana:
“Perut dah naik.”
“Berat susah turun.”
“Seluar dah sempit.”
Lalu mereka buat calorie deficit terlalu agresif.
Skip breakfast.
Skip lunch.
OMAD.
Potong nasi.
Potong lemak.
Potong segala-galanya.
Berat memang boleh turun.
Masalahnya kita tidak mahu semua berat yang hilang datang daripada campuran lemak dan banyak jisim tanpa lemak.
Matlamat yang lebih bijak ialah:
turunkan lemak sambil cuba mempertahankan sebanyak mungkin otot.
Sebab itu protein menjadi lebih penting ketika calorie deficit.
Ulasan sistematik 2024 terhadap orang dewasa overweight/obesity menunjukkan strategi protein lebih tinggi membantu mempertahankan jisim otot ketika proses menurunkan berat.
Dan inilah juga sebabnya kita tak patut terlalu bangga apabila penimbang turun sangat cepat.
Turun 5 kg tidak semestinya bermaksud:
5 kg lemak hilang.
Penimbang tak tahu beza air, glycogen, isi usus, otot dan lemak.
Selepas 40, Jangan Hanya Tanya “Berapa Berat Aku?”
Tanya juga:
Aku masih kuat tak?
Boleh bangun dari kerusi tanpa pegang?
Boleh naik tangga?
Boleh angkat barang?
Boleh squat?
Grip masih kuat?
Boleh berjalan jauh?
Baju makin longgar sebab lemak turun atau sebab bahu dan kaki makin mengecil?
Berat badan hanya satu nombor.
Otot pula adalah sebahagian daripada functional reserve kita untuk kehidupan akan datang.
Sebab itulah sasaran umur 40-an bukan sekadar:
“Aku nak kurus.”
Tetapi:
“Aku nak masuk umur 50 dan 60 dengan badan yang masih boleh digunakan.”
Wanita 40-an, Perimenopause dan Otot
Bagi wanita, umur 40-an juga boleh bertindih dengan fasa perimenopause.
Perubahan hormon, tidur terganggu, hot flushes, perubahan komposisi badan dan aktiviti yang semakin berkurang boleh menjadikan penjagaan otot lebih mencabar.
Ini bukan bermaksud wanita mesti mengambil protein dalam jumlah ekstrem.
Tetapi protein mencukupi dan latihan rintangan menjadi semakin relevan.
Kajian 2024 pada wanita postmenopausal mendapati resistance training meningkatkan kekuatan dan beberapa ukuran komposisi badan.
Satu kajian terkawal 12 minggu pula mendapati resistance training meningkatkan skeletal muscle mass dan kekuatan pada wanita postmenopausal, manakala diet protein tinggi tanpa latihan tidak menghasilkan kesan komposisi badan yang sama.
Kajian besar yang diterbitkan pada 2026 dan merangkumi 126 kajian serta lebih 4,000 wanita juga melaporkan resistance training meningkatkan kekuatan dan memperbaiki komposisi badan dalam wanita premenopausal dan postmenopausal.
Sekali lagi mesejnya sama:
Jangan makan protein kemudian duduk.
Gunakan otot.
Perlu Gym Ke?
Tidak semestinya.
Gym memang memudahkan progressive overload kerana kita ada dumbbell, barbell, cable dan mesin.
Tetapi kalau belum bersedia ke gym, mulakan dengan:
- squat dari kerusi,
- wall push-up,
- incline push-up,
- resistance band,
- naik tangga,
- lunges,
- membawa barang,
- dumbbell ringan,
- berkebun,
- brisk walking,
- dan lebih banyak pergerakan harian.
Kajian terbaru terus mengukuhkan peranan latihan rintangan. Meta-analisis 2025 yang dikemas kini dengan kajian lebih baru mendapati resistance training pada warga emas meningkatkan kekuatan, prestasi fungsi dan juga ukuran jisim otot berbanding kawalan.
Kita yang baru 40-an sepatutnya mula sebelum fungsi mula jatuh dengan ketara.
Protein Dari Makanan Tetap Asas
Walaupun artikel ini akhirnya akan bercakap tentang supplement, asasnya tetap makanan.
Antara sumber protein harian:
- ikan,
- ayam,
- telur,
- daging,
- susu,
- yogurt,
- kekacang,
- tempe,
- tauhu,
- soya,
- dhal,
- dan pelbagai kombinasi makanan.
Supplement bukan lesen untuk makan sesuka hati.
Protein shake sepatutnya digunakan sebagai alat memudahkan diet, bukan menggantikan semua makanan sebenar.
Kalau sudah makan ikan, ayam, telur, tempe dan makanan mencukupi sehingga protein harian tercapai, kita tidak wajib menambah scoop hanya kerana mahu nampak “healthy”.
Tetapi dalam kehidupan sebenar ada orang yang:
tak sempat sarapan,
cepat kenyang,
susah menyediakan lauk,
kerja sibuk,
sedang mengawal kalori,
atau memang sentiasa gagal mencapai protein harian.
Dalam situasi seperti inilah produk protein boleh menjadi praktikal.
Bagaimana Dengan Protein Soya?
Ada orang masih menganggap protein soya sebagai “protein kelas kedua”.
Itu terlalu simplistik.
Soya ialah sumber protein tumbuhan lengkap yang membekalkan essential amino acids.
Namun kita juga perlu jujur bahawa protein tidak semestinya menghasilkan respons yang sama gram demi gram.
Analisis 2024 yang membandingkan beberapa jenis protein pada golongan pertengahan usia dan warga lebih tua yang melakukan resistance training mendapati whey menunjukkan kesan yang lebih besar bagi beberapa outcome berbanding beberapa sumber protein lain termasuk soy.
Ini tidak bermaksud soy “tak bagus”.
Ia bermaksud pemilihan protein harus dilihat bersama:
- jumlah protein harian,
- essential amino acid profile,
- leucine,
- kualiti protein,
- toleransi,
- keutamaan makanan,
- dan latihan.
Untuk orang yang mahu pilihan berasaskan tumbuhan atau tidak mengambil whey, soy isolate tetap merupakan satu pilihan protein yang praktikal.
ESP Shaklee: Apa Kelebihannya?
Sekarang kita masuk kepada produk Shaklee.
ESP Shaklee ialah Mixed Soy Protein Isolate Powder.
Berdasarkan maklumat rasmi Shaklee Malaysia semasa, satu serving ESP menyediakan 14 g protein.
Shaklee turut menyatakan ESP:
- mengandungi kesemua 9 essential amino acids,
- mempunyai skor PDCAAS 1.0,
- Low GI,
- tinggi kalsium,
- mengandungi 7 vitamin B,
- 0 mg kolesterol,
- dan menggunakan non-GMO soy di bawah Identity Preservation Program.
PDCAAS ialah salah satu kaedah menilai kualiti protein berdasarkan kebolehcernaan dan profil essential amino acids.
Skor 1.0 merupakan skor maksimum dalam sistem tersebut.
Kenapa ESP boleh jadi menarik untuk umur 40-an?
Pertama: mudah menambah protein.
Kalau sasaran seseorang 90 g sehari dan makanan hanya memberi 70–75 g, ESP boleh digunakan untuk membantu merapatkan jurang tersebut.
Kedua: ia protein lengkap.
Ia membekalkan sembilan essential amino acids yang badan tidak boleh hasilkan sendiri dalam jumlah mencukupi.
Ketiga: senang digunakan.
Boleh dibancuh sebagai minuman atau dimasukkan bersama makanan lain.
Keempat: sesuai sebagai sebahagian sarapan yang lebih tinggi protein.
Daripada minum kopi dengan roti kosong sahaja, kita boleh membina sarapan yang ada protein, serat dan makanan sebenar.
Tetapi ingat:
14 g protein tetap 14 g protein.
Kalau seseorang perlukan 90–100 g sehari, jangan anggap satu serving ESP sudah menyelesaikan seluruh keperluan hari tersebut.
Ia melengkapkan diet.
Bukan menggantikan keseluruhan diet.
Life Cinch: Berbeza Daripada ESP
ESP dan Life Cinch jangan dianggap benda yang sama.
ESP lebih mudah difahami sebagai protein supplement.
Life Cinch pula dipasarkan oleh Shaklee sebagai meal replacement untuk pengurusan berat.
Laman rasmi Shaklee Malaysia menerangkan Life Cinch sebagai Mixed Soy Protein Shake yang diperkaya dengan leucine, serta direka untuk memberi hidangan yang lebih lengkap bagi individu yang mengurus berat badan. Produk tersebut juga disenaraikan sebagai Low GI, non-dairy, gluten-free dan halal.
Kenapa leucine menarik?
Kerana seperti diterangkan tadi, leucine merupakan salah satu signal penting dalam proses muscle protein synthesis.
Shaklee menyatakan kombinasi leucine dan protein dalam Life Cinch bertujuan membantu mempertahankan lean muscle ketika seseorang menurunkan berat. Laman rasmi mereka merujuk kajian weight-loss Shaklee di Quincy College pada 2017 untuk claim berkaitan pengekalan lean mass. Oleh kerana kajian tersebut merupakan kajian yang dirujuk oleh pengeluar sendiri, ia wajar dilihat berasingan daripada bukti bebas mengenai protein dan resistance exercise.
Saya lebih suka menerangkan Life Cinch secara praktikal:
Kalau seseorang memang mahu menggantikan satu meal ketika mengurus kalori, produk meal replacement yang mengandungi protein lebih masuk akal berbanding skip makan kemudian lapar gila pada waktu malam.
Tetapi meal replacement tetap perlu digunakan dalam konteks diet keseluruhan.
ESP Atau Life Cinch?
Senang sahaja.
Kalau tujuan utama ialah tambah protein:
ESP lebih straightforward.
Contohnya:
Sarapan sudah ada oat + buah tetapi protein rendah.
Tambah ESP.
Atau protein makan tengah hari tak cukup.
ESP boleh membantu menutup jurang.
Kalau tujuan utama ialah menggantikan satu hidangan ketika weight management:
Life Cinch lebih sesuai dengan fungsi produknya sebagai meal replacement.
Ia bukan sekadar scoop protein kosong tetapi dirumus untuk konteks hidangan dan pengurusan berat.
Dan laman Shaklee sendiri mencadangkan Life Cinch boleh dibancuh dengan air, susu rendah lemak atau bersama ESP.
Tetapi tak semestinya semua orang perlu campur kedua-duanya.
Tengok dulu jumlah kalori dan protein keseluruhan.
Contoh Pelan Protein Golongan 40-an
Katakan seseorang menyasarkan sekitar 90–100 g protein sehari.
Sarapan:
telur + ESP + buah
≈ 25–30 g protein
Lunch:
nasi + ayam/ikan + sayur
≈ 30 g
Petang:
yogurt / susu / tauhu / kekacang
≈ 10–15 g
Dinner:
ikan/ayam/tempe + sayur + sumber karbohidrat
≈ 25–30 g
Jumlah:
sekitar 90–105 g.
Nampak?
Tak perlu makan satu ekor ayam.
Tak perlu telan enam scoop protein sekali gus.
Tak perlu hidup atas protein shake.
Kuncinya:
agihkan.
Protein Tinggi Tak Bermaksud Karbohidrat Jahat
Ini satu lagi trend pelik.
Bila orang mula fokus protein, terus nasi dianggap musuh.
Tidak.
Karbohidrat mempunyai fungsi tersendiri, terutama untuk aktiviti dan latihan.
Lemak juga diperlukan.
Sayur dan buah pula membekalkan fiber, vitamin, mineral dan phytochemicals.
Diet yang baik tidak dibina dengan:
protein lawan karbohidrat.
Ia dibina dengan mencukupkan semua komponen mengikut keperluan.
Apa yang kita cuba elakkan ialah diet yang 70–80% kalorinya datang daripada makanan ultra-proses, gula dan karbohidrat yang sangat mudah dimakan berlebihan sedangkan protein, sayur dan makanan bernutrisi sangat sedikit.
Jangan Lupa Tidur
Nak jaga otot tetapi tidur empat jam sehari?
Susah.
Tubuh memerlukan pemulihan.
Selepas umur 40, kita kena berhenti berfikir semua masalah boleh diperbaiki dengan satu supplement.
Tubuh manusia ialah satu sistem.
Otot dipengaruhi oleh:
protein,
latihan,
jumlah kalori,
tidur,
stress,
hormon,
aktiviti harian,
penyakit,
dan pemulihan.
Sebab itu supplement paling mahal pun tidak dapat menggantikan gaya hidup sepenuhnya.
Golongan Yang Perlu Lebih Berhati-hati Dengan Diet Protein Tinggi
Walaupun protein penting, jangan pula baca artikel ini kemudian terus gandakan protein tanpa berfikir.
Individu yang mempunyai:
- penyakit buah pinggang,
- arahan doktor menghadkan protein,
- penyakit metabolik tertentu,
- masalah kesihatan kompleks,
- atau sedang menjalani rawatan tertentu,
patut mendapatkan nasihat doktor atau dietitian terlebih dahulu.
Kajian terkini mengenai diet protein tinggi juga menekankan bahawa status buah pinggang dan keadaan klinikal perlu diambil kira sebelum menggunakan sasaran protein tinggi secara umum.
Formula Uncle Untuk Umur 40-an
Kalau nak ringkaskan seluruh artikel ini:
Protein sahaja tak cukup.
Dan:
Gym sahaja tanpa nutrisi pun tak optimum.
Bayangkan begini:
Protein = bata
Essential amino acids = bahan binaan
Leucine = salah satu signal untuk mula membina
Resistance training = arahan “rumah ini memang diperlukan”
Tidur = masa kontraktor buat kerja
Kalori dan nutrisi = bajet projek
Tak boleh ada satu sahaja.
Kena ada sistem.
Jangan Tunggu Umur 60 Baru Nak Jaga Otot
Ini sebenarnya mesej paling penting.
Kita selalu bercakap tentang:
kolesterol,
gula,
tekanan darah,
berat badan.
Semua itu penting.
Tetapi selepas umur 40, masukkan satu lagi nombor dalam kepala:
berapa banyak otot dan kekuatan yang kita masih ada?
Kita tidak mahu hanya panjang umur.
Kita mahu masuk umur 60, 70 dan 80 dalam keadaan:
boleh berjalan,
boleh bangun,
boleh naik tangga,
boleh angkat barang,
boleh travel,
boleh bermain dengan cucu,
dan masih boleh hidup dengan berdikari.
Otot bukan untuk menunjuk.
Otot ialah aset untuk hari tua.
Dan protein merupakan salah satu bahan yang membantu kita menjaga aset itu.
Jadi apabila umur sudah masuk 40-an, jangan tunggu badan mula lemah baru hendak fikir tentang protein.
Mulakan dengan makanan.
Cukupkan protein.
Agihkan sepanjang hari.
Gunakan otot.
Buat resistance exercise.
Jaga tidur.
Kawal kalori kalau perlu turunkan lemak.
Dan kalau diet harian memang susah mencapai keperluan protein, protein supplement seperti ESP Shaklee boleh digunakan untuk membantu menutup jurang protein harian.
Jika matlamat pula ialah pengurusan berat dan perlukan pilihan meal replacement yang mengandungi protein serta leucine, Life Cinch boleh digunakan mengikut fungsi produk tersebut.
Tetapi ingat satu prinsip:
Supplement melengkapkan usaha. Ia bukan menggantikan usaha.
Selepas umur 40, matlamat kita bukan sekadar nampak kurus dalam gambar.
Matlamat sebenar ialah:
turunkan lemak kalau berlebihan, pertahankan otot, bina kekuatan dan masuk usia seterusnya dengan badan yang masih berfungsi dengan baik.
Itulah sebenarnya nilai protein untuk golongan 40-an.
Bukan sebab nak jadi bodybuilder.
Sebab kita nak terus kuat.
.png)
.png)
.png)
.png)